07 Jun, 2009

Majlis Kesyukuran perkahwinan/pembaziran?

SINONIM dengan musim cuti persekolahan dikalangan masyarakat malaysia,maka ramailah kalangan anggota masyarakat mengambil kesempatan untuk mengadakan kenduri kahwin melambangkan kegembiraan dan kesyukuran lantaran bercantum dua hati insan dalam ikatan pernikahan.

Tidak kira di bandar atau kampung, kenduri kahwin berlangsung dalam suasana meriah tanpa mengira kecil atau besar sambutan mengikut kemampuan ekonomi pengantin dan keluarga yang mengadakannya.

Anas bin Malik dalam hadis diriwayatkan Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW melaksanakan majlis kenduri kahwin dengan seekor kambing untuk isterinya dan juga untuk Zainab.

Jelas daripada mafhum hadis itu bahawa hukum mengadakan walimah atau kenduri perkahwinan adalah diharuskan sebagai mengumumkan suatu ikatan pernikahan, tetapi hendaklah mengikut batas ditetapkan syariat Islam.

Menurut pandangan Syed Sabaq dalam salah sebuah kitabnya, beliau menerangkan walimah atau kenduri kahwin dapat dilaksanakan ketika berlangsungnya akad nikah atau sesudahnya.

Diriwayatkan oleh Bukhari menyatakan bahawa Rasulullah SAW mengundang sahabat Baginda untuk menghadiri majlis walimah sesudah Baginda mencampuri isterinya iaitu Zainab.

Pada kisah Abi Usaid juga didapati bahawa walimah yang dilakukan beliau di mana Rasulullah menghadirinya, Abu Usaud menghidangkan kurma yang disimpan pada malam harinya. Ia bermakna, makanan yang ingin dihidangkan pihak keluarga yang mengadakan walimah itu terpulanglah kepada kemampuan mereka.

Yang ingin dijelaskan daripada kisah itu, Islam memberi perhatian istimewa terhadap majlis kenduri kahwin sebagai tanda penghebahan kepada masyarakat bahawa suatu ikatan pernikahan sudah berlangsung dalam keluarga berkenaan.

Namun begitu, dalam mengadakan majlis kenduri kahwin ini, janganlah pula ada di kalangan keluarga Islam yang mengadakannya dengan melampau batas syariat.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang boros itulah saudara syaitan. Dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.”

Sudah menjadi budaya masyarakat barangkali, apabila golongan mewah dan kaya mengadakan kenduri kahwin, jarang sekali mendahulukan orang miskin serta kurang berada sebagai tetamu.

Hal ini dijelaskan Rasulullah SAW dalam sabdanya bermaksud: “Sejelik-jelik makanan ialah makanan dari majlis kenduri kahwin yang hanya dijemput orang-orang kaya saja, orang-orang fakir dan miskin tidak pula diundang untuk makan bersama.” (Hadis riwayat Bukhari)

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jika salah seorang di antara kamu dijemput ke majlis perkahwinan, maka hendaklah ia mendatangi majlis tersebut.” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam kitab yang ditulis Syed al-Bari ada menyatakan bahawa syarat undangan yang wajib dipenuhi antara lain hendaklah meliputi perkara berikut:


Orang yang mengundang adalah mukallaf, merdeka serta sihat pemikirannya.

Tidak dikhususkan kepada orang kaya saja.

Orang mengundang beragama Islam.

Tidak ada kemungkaran.

Orang yang diundang tidak mengalami keuzuran syarie

Sudah lama tak ke udara melalui laman blog ini...alhamdulillah hari ini dapat on...Insya'Allah saya akan updated sedikit masa nanti