Dari segi bahasa, qurban bermaksud sesuatu yang dikorbankan kerana Allah subhanahu wata‘ala.
Dari sudut syara‘, qurban bermaksud menyembelih binatang yang tertentu pada masa-masa yang tertentu dengan niat mendekatkan diri kepada Allah subhanahu wata‘ala.
PENSYARI‘ATAN DAN HIKMAHNYA
Qurban telah disyari‘atkan pada tahun kedua hijrah sama seperti ibadah zakat dan sembahyang Hari Raya.
Firman Allah subhanahu wata‘ala:
{ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ }
Maksudnya:
“Maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan sembelihlah qurban (sebagai tanda syukur)”
(Surah Al-Kauthar 108:2)
Hikmah disyari‘atkan qurban ialah sebagai tanda bersyukur kepada Allah subhanahu wata‘ala di atas segala nikmatNya yang berbagai dan juga di atas kekalnya manusia dari tahun ke tahun.
Ia juga bertujuan menjadi kifarah bagi pelakunya, sama ada disebabkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan ataupun dengan sebab kecuaiannya dalam menunaikan kewajipan di samping memberikan kelegaan kepada keluarga orang yang berqurban dan juga mereka yang lain.
Qurban tidak memadai dengan menghulurkan nilai harganya, berbeza dengan ibadah zakat fitrah yang bermaksud memenuhi keperluan golongan fakir, Imam Ahmad dikatakan menyebut amalan menyembelih qurban adalah lebih afdhal daripada bersedekah dengan nilai harganya.
HUKUM MELAKUKAN QURBAN
Hukum melakukan qurban ialah sunnah mu’akkadah bagi sesiapa yang mampu melakukannya.
Sabda Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam yang bermaksud:
“Aku diperintahkan agar menyembelih qurban dan ia sunat bagi kamu”
(Riwayat Tirmizi)
PEMBAHAGIAN IBADAH QURBAN
Terdapat dua jenis qurban iaitu qurban wajib dan qurban sunat.
Qurban Wajib
Qurban Nazar.
Contohnya apabila seseorang menyebut, “Kerana Allah wajib ke atasku berqurban seekor kambing atau seekor unta ini” ataupun dengan menyebut, “Aku jadikan kambing ini sebagai qurban”
Sama sahaja hukumnya dalam hal sama ada yang menyebutnya itu seorang yang kaya ataupun seorang fakir.
Binatang yang dibelikan untuk tujuan qurban oleh seorang fakir. Apabila seorang fakir membeli seekor kambing dengan niat untuk diqurbankan, maka ia menjadi wajib. Ini kerana membeli dengan tujuan berqurban oleh seseorang yang tidak wajib melakukannya dikira wajib kerana perbuatan ini dikira sebagai satu nazar.
Qurban Sunat
Qurban sunat ialah qurban yang dilakukan oleh seseorang yang berkemampuan melakukannya sama ada miskin ataupun yang bermusafir, yang tidak berniat nazar atau membeli dengan tujuan qurban.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan