27 Disember, 2009

Fiqh Siyasah Syar'iyyah : Fokus Terhadap Beberapa Isu Kontemporari

Oleh : Zaharuddin Hj Abd Rahman

www.zaharuddin.net

MUQADDIMAH

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam buat junjungan SAW serta para keluarganya dan sahabatnya yang terpillih dan seluruh mukminin dan mukminat yang menuruti jalannya dengan haq.


Penulisan ini menyentuh beberapa aspek siyasah dalam sudut pandangan Islam, antara aspek yang disentuh :


Kewujudan Politik di dalam Islam.
Cabaran Pemisahan Islam dan Politik.
Perbincangan tentang Dawlah Islam dan konsep asas pemerintahan Islam.
Hak wanita sebagai pemimpin dan politik dan lain-lain.
Hak bukan Islam di dalam Pemerintahan Islam.
Demokrasi serta pendirian Islam terhadapnya.
Sikap Islam terhadap Pilihanraya, Demonstrasi dan Parlimen.
Syarat Penggunaan Maslahat.



Demikian beberapa persoalan yang cuba disentuh secara ringkas.



Persoalan Fiqh Dawlah dan Siyasah Syar’iyyah semakin mendapat perhatian ramai apabila kefahaman Islam berkembang dan menyerapi pemikiran umat manusia yang selama ini gersang ditutupi oleh kezaliman ideology amalan para pemerintah moden. Benarlah sabda Nabi Saw :



ليبلغن هذا الأمر ما بلغ الليل والنهار ولا يترك الله بيت مدر ولا وبر

الا أدخله الله هذا الدين بعز عزيز أو بذل ذليل عزا يعز الله به



Mafhum : “ Pasti akan sampai urusan ini (Islam) ke mana sahaja sampainya malam dan siang, Allah tidak akan tinggalkan satu rumah si kaya mahupun miskin pun, kecuali akan dimasukkan oleh Allah Agama ini…” [1]




Sejak beberapa lama setelah kejatuhan khilafah Islam terakhir pada tahun 1924m, maka dengan bersendikan pemikiran mujaddid-mujaddid kurun ini, seperti Syeikh al-Imam Muhammad Abduh, Syeikh Rashid Ridha serta ramai lagi, lahirlah mujaddid haraki seperti Imam As-Shahid Hasan Al-Banna (1906-1949 M) pengasas jamaah Ikhwan Muslimin bagi mengharungi perancangan licik Yahudi serta sekutunya di seluruh dunia. Perjuangan demi menegakkan negara kebajikan Islam , kini menjadi tugas serta kewajiban semasa bagi seluruh umat Islam. Ulama’ contoh kini seperti Syeikh Prof. Dr.Yusoff Al-Qaradhawi, , Syeikh as-Syahid Abdullah ‘Azzam (1989 m), Syeikh Muhd Al-Ghazali(1916-1996m), Syeikh Abul A’la al-Maududi(1903-1979m), Syeikh Mustafa As-Siba’ie (1964 m), Syeikh Syahid abd Qadir ‘Awdah ( 1954m), Syeikh Muhd Qutb, Dr Hammam Said, Dr Abd Qadir Abu Faris, Dr. Solah Abd Fatah al-Khalidi serta ramai lagi boleh memandu kita ke arah peranan yang sebenarnya.

Kalau dahulu, kita dapat melihat dengan jelas peranan ulama besar dalam melakukan pembaharuan. Imam Abu Hanifah an-Nu’man (80-150H) merupakan individu utama dalam meletakkan kaedah mengeluarkan hukum Islam terhadap isu-isu baharu yang tidak terdapat nas khusus, iaitu melalui menggunakan kaedah ‘analogy’ hokum baru kepada hokum asal yang terdapat nas, ia dinamakan Qiyas. Jelasnya itulah keperluan utama di zamannya iaitu menyelesaikan isu-isu baru hasil perkembangan masa dan zaman. Manakala Imam Malik Bin Anas (93-178 H) pula merupakan individu utama yang menekankan persoalan ilmu jarh dan ta’dil sebagai keutuhan sumber perundangan Islam dan keshahihan hadith. Ia tepat di zamannya yang menyaksikan timbul pelbagai hadith-hadith palsu tatkala itu.




Imam Muhammad Bin Idris al-Syafie (150-204 H) dengan peranan utamanya iaitu berperanan sebagai individu utama menyusun kaedah Usul Fiqh dalam gaya gabungan ahli Hadis dan Ahli ra’yi. Manakala Imam Ahmad Bin Hanbal (164-241 H) pula merupakan individu pertama dalam menggabung dan mengumpulkan hadith-hadith Rasulullah SAW agar umat Islam tidak tercari-cari rujukan kelak, itulah Musnad Ahmad yang mengandungi lebih 40,000 hadith Rasulullah Saw. Peranan mereka semua amat bertepatan dengan kalam Rasulullah SAW yang menegaskan : Dari Abu Hurairah ra.



إن الله يبعث إلى هذه الأمة على رأس كل مائة سنة من يجدد لها دينها


Mafhum : “Sesungguhnya Allah membangkitkan kepada umat ini, di setiap permulaan seratus tahun, seseorang yang melakukan tajdid bagi Agama” (riwayat Abu Daud)[2]




Justeru, adalah menjadi tuntutan kepada setiap individu Islam bagi memikirkan apakah keperluan Islam pada zamannya sesuai dengan hadith tersebut. Tidak dapat diingkari bahawa, semasa kewujudan Khilafah Islam sehingga tahun 1924 M sememangnya keperluan untuk mewujudkan gerakan Islam yang berjuang untuk menegakkan kembali sebuah negara kebajikan Islam secara khusus kurang releven, tetapi setelah kejatuhannya, tanpa syak ia sepatutnya menjadi salah satu tuntutan utama dalam Islam hari ini.

Bagi melicinkan tugas ini, menjadi kewajiban bagi umat untuk memahami selok belok politik Islam bagi memperkenalkannya kembali kepada manusia hari ini. Selaras dengan sebuah athar dari Sayyidina ‘Ali KW :


لا يعرف الفضل لأهل الفضل إلا ذو قضل


Mafhum : Orang yang tidak mempunyai kelebihan tidak akan dapat mengenali orang yang memiliki kelebihan”



Demikian begitu juga bak kata pepatah Melayu “Tak Kenal Maka Tak Cinta” Bagaimana mungkin manusia akan yakin serta cinta kepada system Islam sekiranya mereka tidak diperkenalkan dengan keindahan dan kemantapan sistem kenegaraan Islam dan politik Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sudah lama tak ke udara melalui laman blog ini...alhamdulillah hari ini dapat on...Insya'Allah saya akan updated sedikit masa nanti