27 Disember, 2009

TAKRIF SIYASAH ATAU POLITIK

sumber www.zaharuddin.net

Siasah menurut bahasa :

“Sasa- yasusu- siyasatan wa riasah” yang membawa maksud tadbir, perintah, mengetuai ( Lisan al-Arab, Dar al-kutub al-ilmiah)

Manakala menurut istilah para ulama’ terdahulu terbahagi kepada dua, iaitu :

1. Makna ‘Am : Mentadbir urusan manusia dan urusan dunia mereka dengan syariat Deen. Dengan ini kita dapati mereka mentakrifkan ‘Khilafah’ sebagai :
نيابة عن رسول الله صلى الله عليهم وسلم في حراسة الدين وسياسة الدنيا به

Mafhum : “Sebagai pengganti tugas Rasul dalam menjaga Agama dan mentadbir Dunia dengan berpaksikan agama”

2. Makna Khas : Tindakan-tindakan yang dibuat oleh Imam (Pemerintah) berdasarkan sumber-sumber, bertujuan untuk menghalang kerosakan dan mencegah kerosakan yang belum melanda atau suatu langkah pemulihan. [3]

Sebagai contoh tindakan seumpama ini adalah tindakan yang dilakukan oleh Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a yang membakar peliwat, Khlaifah Umar Al-Khattab ra pula pernah mencukur rambut Nasar bin hajjaj akibat digilai oleh perempuan Madinah. Semua tindakan ini berubah menurut kepentingan maslahat setempat dan zaman.

Menurut As-Syahid Imam Hasan Al-Banna : ‘Siasah adalah kajian tentang persoalan umat Islam samada dalam dan luar negeri, ia tidak terikat dengan ikatan kepartian semata-mata” [4]

Perkataan asal siyasah digunakan oleh Rasulullah SAW dalam hadithnya :

كانت بنوا إسرائيل تسوسهم الأنبياء كلما هلك نبي خلفه نبي وانه لا نبي بعدي انه سيكون خلفاء فيكثرون

Mafhum : “Dahulunya Bani Israel dipimpin oleh para Nabi, tatkala wafat seorang Nabi maka dibelakangnya terdapat Nabi (lagi) dan sesungguhnya tiada seorang pun lagi Nabi selepas Aku( Rasulullah ), dana diikuti oleh para pemimpin…” [5]

DALIL KEWUJUDAN POLITIK DI DALAM ISLAM

Sejak berkembangannya fahaman Sekularisme di kebanyakan pelusuk dunia, ramai menjadi terkeliru dengan istilah-istilah seperti ‘politik kotor’, tiada politik dalam Islam, Islam tiada kaitan dengan politik dan pelbagai lagi.

Justeru percubaan memisahkan politik dari prinsip Islam ini sentiasa diperjuangkan oleh musuh-musuh Islam dan anak buahnya, malah juga terdiri dari kalangan umat Islam sendiri. As-Shahid Sayyid Qutb berkata ; Islam yang dikehendaki oleh Amerika dan kepimpinannya di Timur Tengah, bukanlah Islam yang menentang penjajahan, kezaliman, komunisme tetapi sebenarnya mereka tidak mahu Islam memerintah, mereka mahu Islam yang membicarakan perkara yang membatalkan wudhu’ sahaja, dan bukan persoalan ekonomi Islam, Politik Islam, Masyarakat Islam dan Kewangan Islam.

Bagi mengembalikan kefahaman umat, menjadi kewajiban bagi merujuk kepada rujukan utama Islam dalam hal kesempurnaan Islam dalam kepelbagaian bidang kehidupan.

Dalil Pertama : Dari Al-Quran

Firman Allah SWT :

الذين إن مكناهم في الأرض أقاموا الصلاة وآتوا الزكاة وأمروا بالمعروف ونهوا عن المنكر

(ولله عاقبة الأمور ( الحج:41

Mafhum : Sesungguhnya orang yang kami berikan kepada mereka kekuasaan di atas muka bumi, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh kepada kebaikan, melarang kemungkaran, dan kepada Allah mereka menyerahkan penghujung sgl usaha” (Al-Haj : 41)

Ayat di atas dengan jelas lagi terang menerangkan fungsi dan peranan pemimpin. Ia secara langsung menyentuh isu politik.

(ونزلنا عليك الكتاب تبيانا لكل شيء وهدى ورحمة وبشرى للمسلمين (النحل:89

Mafhum : Dan telah Kami turunkan kepada kamu, Kitab (al-Quran) yang didalamnya mengandungi penerangan terhadap semua perkara serta menjadi petunjuk dan rahmat dan membawa berita gembira bagi muslimin" ( An-Nahl : 89)

Ayat di atas pula menerangkan bahawa semua urusan kehidupan manusia telah pun diterangkan dasarnya di dalam Al-Quran, justeru ia adalah satu penegasan bahawa dasar yang melibatkan hal ehwal politik juga terkandung di dalamnya.

Dalil Kedua : Dari Al-Hadith

1. Sabda Nabi SAW :

إذا كان ثلاثة في سفر فليؤمرو اعليهم أحدهم (رواه ابو داود والطبراني عن أبي سعيد و أبي هريرة وإبن مسعود بإسناد صحيح )

Mafhum : “Apabila keluar tiga orang semasa bermusafir maka telah mesti ke atasnya melantik seorang darinya sebagai ketua” ( Riwayat Abu Daud dan At-Tabrani, dengan sanad yang shohih) [6]

2. أفضل الجهاد كلمة حق عند سلطان جائر (النسائي وصححه النووي )

Mafhum : “Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang haq dihadapan pemerintah yang zalim”

3) سيد الشهداء حمزة ثم رجل قام إلي إمام جائر فأمره ونهاه فقتله

Mafhum : “ Penghulu para syuhada; adalah Hamzah ra, kemudian lelaki yang bangun kepada pemerintah yang zalim lalu mengajaknya kepada kebenaran dan melarangnya dari kemungkaran lalu ia dibunuh kerana itu” ( Al-Hakim mentashihkan hadith ini)

4. رواه مسلم) من مات وليس في عنقه بيعة فإن ميتته جاهلية

Mafhum : “Barangsiapa yang mati, dalam keadaan tiada padanya suatu bai’ah( iqrar janji taat kepada pemimpin Islam) maka matinya seumpama dalam keadaan Jahiliyyah” (Riwayat Muslim) [7]

5. Piagam Madinah yang mengandungi 47 fasal, merupakan intipati sebuah perlembagaan negara. Antara lain isinya menyebut isu-isu politik kenegaraan, pentadbiran Rasulullah SAW terhadap Muhajirin, Ansar dan Yahudi. [8]

6. Berikut beberapa contoh tindakan siyasah syar’iyyah yang dilakukan di zaman Baginda SAW :-

· Nabi SAW bersungguh-sungguh mengecam untuk membakar rumah mereka yang tidak bersolat jemaah. [9]

· Menggandakan denda ke atas pencuri yang tidak cukup nisabnya untuk dipotong tangan, malah dilaksanakan hukuman sebat sebagai pengajaran. [10]

· Merampas harta individu yang tidak mahu mengeluarkan zakat. [11]

· Memecahkan bekas-bekas arak dan juga periuk-periuk yang dimasak di dalamnya daging yang haram..kemudian dinasakh hukum memecahkannya kepada basuh.[12]

· Memerintahkan wanita yang mencaci dan melaknat untanya, agar melepaskannya.[13]

· Memerintahkan agar dihukum bunuh bagi peminum arak bagi kali ke 4, hukum ini dinasakhkan selepas itu. [14]

· Memerintah agar ditangkap Yahudi yang menghentak kepala seorang hamba wanitanya dengan batu, Nabi menerima dakwaan wanita tadi lalu menghukum memukul kepala si Yahudi. [15]

Semua sunnah qawliyah dan fe’liyah baginda SAW di atas, menjurus kepada hal ehwal pentadbiran dan politik Islam.

Dalil Ketiga : Dari Athar Sahabat & para ulama mujtahidin

1. Berkata Saidina Umar al-Khattab : لا إسلام إلا بجماعة ولا جماعة إلا بإمارة, ولا إمارة إلا بالطاعة

Mafhum : Tiada Islam kecuali dengan Jemaah, tiada Jemaah kecuali dengan Kepimpinan, Tiada Kepimpinan kecuali dengan Ketaatan.[16] (Lihat)

2. Imam As-Syafie berkata : “ لا سياسة إلا ما وافق الشرع “

Ertinya : “Tidak diiktiraf siyasah kecuali pentadbiran yang menepati syara’” [17]

3. Berikut adalah contoh amalan siyasah syar’iyyah oleh para sahabat [18] : -

· Saidina Abu Bakar membakar para peliwat.

· Saidina Umar membakar kedai-kedai arak dan membakar kampung yang menjual arak di dalamnya.

· Saidina Umar mencukur rambut Nasar bin Hajjaj serta dibuang daerah kerana ketampanannya terlalu memikat wanita hingga ramai yang berhajat melakukan maksiat dengannya.

· Saidina Umar memukul Sobi’ bin ‘Asal kerana bertanya soalan yang tidak sepatutnya.

· Mengarahkan sahabat tidak memperbanyakkan meriwayat Hadith ketika mereka sibuk dengan Al-Quran.

· Saidina Uthman mengumpulkan Al-quran dengan satu qira’at.

Berdasarkan beberapa ayat, hadith serta athar tadi, jelas bahawa aspek siyasah (politik pemerintahan) semestinya terkandung di dalam Islam bahkan Nabi SAW juga merupakan seorang pemimpin politik apabila baginda menjadi Ketua Negara di Madinah. Penulis merasakan adalah tidak perlu untuk memanjangkan bahagian ini kerana meyakini kejelasannya di pemikiran para pembaca.

ILMU SIYASAH ISLAM DALAM SEJARAH PEMBUKUAN

Perkembangan ilmu politik Islam tidak terlepas daripada pandangan para pimpinan Islam sejak kewafatan Rasulullah SAW. Antaranya tandanya bolehlah kita melihat kepada buku-buku yang dikarang berkaitan tajuk ini, antaranya fiqh Umar al-khattab ra yang begitu banyak membuat pembaharuan dan ijtihad dalam perkara-perkara umat Islam (Mausu’ah Fiqh Umar Al-Khattab oleh Dr. Muhd Rawwas Qal’ah Ji), manakala antara buku terawal mengenai siyasah ditulis oleh al-Qadhi Abu Yusof Ya’qub B Ibrahim al-hanafi ( m 183 H) bertajuk Al-Kharraj, Yahya Adam al-Quraisy (m 204 H) bertajuk Al-Kharraj, Abu Ubaid al-Qasim ( 224 H) bertajuk Kanzul al-amwal, seterusnya Imam Ibn Qutaibah ( 267 H) bertajuk ‘Al-Imamah wa al-Siyasah’ ‘,setersunya al-Madinah al-Fadhilah, oleh Abu Ali Bin Sina ( 428 H). Manakala penulisan oleh Imam al-Mawardi as-Syafie (m 450 H) bertajuk adab al-wazir’ dan juga al-ahkam as-sultaniyah, Abu Ya’la al-Farra al-hanbali (458 H) bertajuk al-ahkam as-sultaniyah, Imam haramian al-syafie (476 H) bertajuk Ghiasu al-umam, penulisan oleh Shihabuddin al-Qarafi bertajuk ihkam al-ahkam fi tamyiz al-Fatwa , seterusnya Imam Ibnu Taimiyah al-Hanbali (728 H) bertajuk al-siyasah al-syariyyah fi islah al-ra’ wa al-raiyyah, Imam Ibnu Qayyim al-hanbali (749 H) Turuq al-hukmiah dan Al-Ahkam Ahli Dzimmah, Imam Ibnu Rejab al-hanbali (795 H) bertajuk al-istikhraj fi ahkam al-kharraj dan banyak lagi, sehinggalah ke hari ini. Ini membuktikan bahawa ilmu siyasah Islam bertali arus dari sudut perhatian para ulama’ terdahulu sehinggalah sekarang.

HAKCIPTA TERPELIHARA. Pusat Pengajian At-Tibyan, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

--------------------------------------------------------------------------------

[1]. Riwayat Al-Hakim dan al-Baihaqi ; Berkata Al-Hakim : Hadith ini Shohih menurut syarat al-Bukhari & Muslim, ia juga dipersetujui oleh Imam Az-Zahabi.

[2] Riwayat Abu Daud , no 4291 ; Hadith Shohih menurut Syeikh Albani.

[3] As-Siyasah As-Syar’iyyah – Dr Yusof Al-Qaradawi, Muassasah al-Risalah, hlm 31

[4] Mabadi’ al-Usul Fi Mu’tamarat al-Khassah, Muassasah al-Islamiyyah, 1980, hlm 104

[5]. Riwayat Bukhari no 3268 , Muslim no 1842, Ahmad no 7947, Ibnu Majah 2871. Hadith Shahih

[6] Nailul Awtar, As-Syawkani, Kitab Aqdhiyah wa al-ahkam, 8/608

[7]. Shohih Muslim dengan Syarh Imam Nawawi, 12/240

[8]. As-Sirah An-Nabawiyyah As-Shohihah, Prof Dr Akram al-Umari, 1/282 ; Lihat juga analisa keshohihan piagam ini dari sudut sanad dalam kitab yang sama. Kesimpulan:- Sirah Ibn Ishak : tiada sanad ; Sanad oleh al-Bayhaqi : Terdapat perawi maqbul sahaja; Sanad oleh Ibn Abi Khaithamah , terdapat perawi mawdu’ ; Sanad oleh Abu Ubayd ; Terputus ; Maka secara keseluruhan piagam Madinah tidak mencecah darjat shohih, kecuali terdapat beberapa fasal yang diriwayatkan dalam sunan sittah termasuk Bukhari dan Muslim mencecah darjat Hasan.

[9]. Riwayat Muslim (no 652)

[10]. Riwayat Abu Daud (no 4390) dan At-Tirmidzi ( no 1289)

[11]. Riwayat Abu Daud (no 1575 )

[12]. Riwayat Bukhari (no 5496 ) , Muslim (no 1930 ) , At-Tirmidzi ( no 1293)

[13]. Riwayat Muslim (no 2595)

[14]. Riwayat Abu Daud (no 4482 ) , At-Tirmidzi (no 1444)

[15]. Riwayat Bukhari (no 2413) , Muslim (no 1672)[16]. Mawsu’ah an-Nuzum wa al-Hadharah al-Islamiyyah, Ahmad Syalabi, 2/29

[17]. At-Turuq al-Hukmiah, Ibn al-Qoyyim , hlm 41 ; tafsiran erti kalam As-Syafie tadi, adalah menurut tafsiran Ibn qoyyim.

[18]. At-Turuq al-Hukmiah, Ibn al-Qoyyim, hlm 45-47

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sudah lama tak ke udara melalui laman blog ini...alhamdulillah hari ini dapat on...Insya'Allah saya akan updated sedikit masa nanti